GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berasal dari Kalimantan, Indonesia dikesan positif Covid-19 di sini, hari ini.

Lelaki terbabit dimasukkan ke pusat kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang lagi warga Indonesia yang juga saudara kembarnya iaitu kes ke-1,067 Sarawak yang disahkan dijangkiti wabak itu pada 4 Disember lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, berdasarkan siasatan, lelaki itu didapati memasuki negeri ini pada pertengahan bulan lalu.

"Dia dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah kerana tiada data kemasukan kes ke Sarawak bersama kes ke-1,067.

"Kes menjalani saringan rT-PCR Covid-19 pada 7 Disember 2020 ketika berada di pusat kuarantin dan keputusan ujian rT-PCR mendapati beliau positif Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes ke-1,071 itu tidak menunjukkan sebarang tanda serta gejala dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, berdasarkan sejarah pergerakan, kes itu dikategorikan sebagai kes Import A iaitu jangkitan semasa berada di negara asal sebelum masuk ke Sarawak.

"Lelaki itu antara dua kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sarawak, hari ini, sekali gus menjadikan keseluruhan positif wabak itu seramai 1,072 orang.

"Satu lagi kes jangkitan baharu hari ini membabitkan seorang lelaki dari Kelantan yang masuk ke Sarawak pada 6 Disember lalu atas urusan melaporkan diri di salah satu pusat latihan di Kuching," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:18 PM