Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Demi datuk dan nenek tersayang, empat beradik di bawah usia 12 tahun tekad membantu ibu mereka mengheret kedua-dua warga emas itu keluar rumah dan menaiki bot untuk menyelamatkan diri.

Tujuh beranak itu hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira 8 malam semalam.

Insiden itu turut menyebabkan 72 lagi kediaman atas air musnah dengan lebih 200 penghuni terjejas.

Menceritakan kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan, Julaipa Mohd Kalbi, 34, berkata, dia pada mulanya cuba menarik ibu dan bapanya yang lumpuh sendirian, namun tidak mampu disebabkan badan mereka yang berat.

Katanya, dalam kelam kabut itu, dia tiada pilihan melainkan menyuruh empat anaknya berusia enam hingga 10 tahun membantu dan bersama-sama mengheret mereka ke luar rumah.

 JULAIPA bersama anak-anaknya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna, Kampung Sembulan. FOTO Mohd Adam Arinin.
JULAIPA bersama anak-anaknya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna, Kampung Sembulan. FOTO Mohd Adam Arinin.

"Dengan segala kudrat yang ada, kami tarik hingga masuk ke dalam bot.

"Sebelum itu, bapa ada menyuruh kami selamatkan diri dengan membawa mak keluar, tetapi mustahil saya mahu meninggalkan dia.

"Kami usahakan sehingga semuanya selamat walaupun tiada apa harta benda yang dapat dibawa bersama," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Sembulan di sini, hari ini.

Julaipa berkata, kedua-dua orang tuanya mengalami keuzuran disebabkan masalah kesihatan sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, meskipun tidak sempat menyelamatkan barang penting dan harta benda, dia tetap bersyukur kerana mereka semua terselamat daripada kebakaran itu.

Berita berkaitan:

  • Kampung Lok Urai disambar api
  • [UPDATE] 73 rumah atas air musnah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 11:26 AM