Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lonjakan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sabah disebabkan pelaporan sampel dari negeri berkenaan yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dalam jumlah yang besar.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 terhadap 251,030 individu di Sabah sejak bermulanya penularan pandemik berkenaan di negara ini.

"Ini adalah susulan daripada pengesanan kes secara aktif yang dijalankan oleh kesihatan awam sebagai salah satu langkah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah.

"Sehingga hari ini (semalam), kadar positiviti Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 2.96 peratus dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,439 kes iaitu 36.3 peratus daripada kumulatif kes di negara ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Sabah melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 702 kes atau 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, semalam.

PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu (PKKK) kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan Covid-19 di kawasan sasaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. FOTO Mohd Adam Arinin
PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu (PKKK) kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan Covid-19 di kawasan sasaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. FOTO Mohd Adam Arinin

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 7:28 PM