Senjata yang ditemui dalam kereta suspek. FOTO ihsan polis
Senjata yang ditemui dalam kereta suspek. FOTO ihsan polis
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI ditahan selepas polis menemui pil kuda, selaras senapang angin dan sebilah pedang di dalam kenderaannya di Kampung Tok Dor, Jertih, semalam.

Suspek berusia 24 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dalam Op Tapis kira-kira 3 petang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota yang melakukan operasi menahan sebuah Proton Saga FLX selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut keretanya sebelum terbabas.

"Suspek ditahan selepas berlaku pergelutan dan hasil pemeriksaan pada beg silang menemui 114 biji pil disyaki dadah.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta turut menemui selaras senapang angin, sejumlah bebola besi dan sebilah pedang bersarung," katanya hari ini.

Mohd Zamri berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki di Pasir Puteh, Kelantan.

"Suspek yang positif methamphetamine memaklumkan dia menjual sebiji pil dengan harga RM10 sebiji kepada penagih.

"Siasatan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod membabitkan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

"Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:06 PM