Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menemui sejumlah 200 unit beg tangan dan dompet pelbagai jenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel yang disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan dan pusat jualan atas talian di Bandar Tasik Puteri, Kundang, kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menemui sejumlah 200 unit beg tangan dan dompet pelbagai jenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel yang disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan dan pusat jualan atas talian di Bandar Tasik Puteri, Kundang, kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: Mampu kaut untung bersih sehingga RM 20,000 sebulan hanya melalui jualan beg tangan dan dompet jenama terkenal tiruan menerusi platform laman Facebook secara 'live' selama dua tahun.

Kegiatan itu dilakukan seorang lelaki berusia 36 tahun sebelum ia terbongkar hasil risikan dan serbuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Difahamkan suspek warga tempatan memperolehi keuntungan berlipat kali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Gombak di sebuah premis perniagaan di Bandar Tasik Puteri, Kundang, di sini, jam 11 pagi.

Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan aduan wakil pemilik cap dagang dan risikan selama lebih dua minggu.

"Hasil serbuan itu, kami menemui 200 unit beg tangan dan dompet 'cetak rompak' pelbagai jenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel yang turut disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor dan pusat jualan atas talian.

"Nilai rampasan barangan berkenaan dianggarkan lebih RM 27,000," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, lelaki itu yang disoal siasat memberitahu menjual beg tangan dan dompet tiruan berkenaan pada harga sekitar RM200 hingga RM500 mengikut gred dan kualiti.

"Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah mengikut Seksyen 100.

"Saya memberi amaran dan peringatan kepada mana mana individu supaya tidak menggunakan cap dagang bagi tujuan perdagangan dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran dari pihak pemilik.

"Hukuman berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:24 PM