Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan kononnya berlaku potong barisan dengan mengetepikan pasukan barisan hadapan dalam isu suntikan vaksin.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dakwaan yang tular itu tidak benar kerana masalah berkenaan tidak berlaku.

Katanya, pihaknya tidak mengutamakan pihak atasan daripada kerajaan negeri untuk suntikan vaksin, sebaliknya senarai nama yang akan diberi vaksin sudah dikenal pasti.

"Kita sudah mengenal pasti pasukan barisan hadapan dalam kalangan pegawai perubatan dan mereka akan diberi keutamaan untuk suntikan vaksin.

"Bagaimanapun, bukan semua pasukan perubatan menerima suntikan pada hari pertama iaitu Selasa ini, sebaliknya ia secara berperingkat sehingga April," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, terdapat dakwaan mengatakan senarai nama pasukan barisan hadapan membabitkan kakitangan perubatan yang bakal menerima vaksin terpaksa dipotong dengan memberi keutamaan kepada pihak atasan kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 140 individu membabitkan pelbagai agensi termasuk mufti akan menerima suntikan vaksin pada Selasa ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan mengetuai suntikan vaksin berkenaan diikuti Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Kelantan akan menerima sebanyak 43,290 dos vaksin secara berperingkat sepanjang Mac ini termasuk 18,720 dos vaksin sudah diterima Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 11:03 PM