Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan lima pemancing selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan di perairan Pulau Redang, semalam.

Lima lelaki termasuk tekong, berusia antara 32 hingga 47 tahun, diselamatkan pada jarak 15 batu nautika dari Pulau Redang, jam 5.45 petang.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot Penggalang 17 yang berada di kawasan berhampiran bergerak ke lokasi kejadian sebaik maklumat mengenai kejadian itu, jam 4.45 petang.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menemui bot dinaiki lima lelaki tempatan sebelum mereka dipindahkan ke atas bot Penggalang 17.

"Semua mangsa selamat dan bot yang mengalami kerosakan itu ditunda ke Jeti Pulau Redang pada 6 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 9:58 AM