GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat mengemukakan penyata tuntutan bekerja lebih masa palsu enam tahun lalu, seorang bekas penolong pegawai kesihatan dijatuhi hukuman denda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Rozina Ayob menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Johan Fazlan Sa'adon, 42, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkannya dipenjara 15 bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh yang ketika kejadian bekerja di Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya didakwa dengan curangnya mengemukakan beberapa set dokumen penyata tuntutan bekerja lebih masa yang diketahuinya adalah palsu bagi bulan Mei hingga September 2015 yang keseluruhannya berjumlah RM3,352.06.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Unit Gaji, Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya antara Jun hingga Oktober 2015, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 6:27 PM