ABDUL Jalil menutup wajahnya selepas mengaku salah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ABDUL Jalil menutup wajahnya selepas mengaku salah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang kontraktor yang juga pemilik syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan penyata akaun bank palsu lima tahun lalu.

Tertuduh Abdul Jalil Mohammad, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan alternatif pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu tiga penyata akaun bank sebagai tulen yang dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Terusan Baru Semporna, pada 1 November 2017.

Bagi kesalahan itu, Abdul Jalil didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sabah, Norsham Saharom dalam hujahnya memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan kes berkepentingan awam.

Beliau berkata, kes berkenaan membabitkan kerja perkhidmatan kantin sekolah serta pembekalan makanan bagi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah.

"Perbuatan tertuduh menggunakan penyata akaun bank palsu untuk mendapatkan tender dan kerja perkhidmatan kantin sekolah adalah kes yang kerap dilaporkan berlaku selain menafikan hak syarikat-syarikat yang lebih layak dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Oleh yang demikian pendakwaan mohon supaya hukuman setimpal dijatuhkan kepada tertuduh supaya menjadi teladan kepada masyarakat di luar sana serta sebagai pengajaran terhadap tertuduh sendiri," katanya

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan dia kini tidak lagi bekerja selain mempunyai masalah kesihatan.

"Saya sudah insaf dan kini hanya bergantung kepada isteri yang bekerja sebagai kerani sekolah serta mempunyai tanggungan dua anak masing-masing di tingkatan empat dan enam selain menjaga ibu yang uzur," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain hukuman penjara tiga bulan (bagi setiap pertuduhan) sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 3:57 PM