Siti Rohana Idris

Tumpat: Sepanjang 74 tahun hidupnya, wanita warga emas yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Tujoh di sini, tidak memiliki kad pengenalan.

Azizah Yusof yang tidak boleh bercakap sejak lahir dan kini sudah tidak mampu berjalan didakwa tidak didaftarkan kelahirannya oleh kedua orang tuanya atas sebab yang tidak dapat dipastikan namun adik-beradiknya yang lain memiliki dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Warga emas yang tidak berumahtangga itu diuruskan kakaknya, Esah Yusof, 77, dan kini mereka mendiami rumah anak perempuan Esah bersama menantu dan lima cucu serta seorang anak saudara.

Esah berkata, dalam usia semakin tua, Azizah juga tidak dapat dipastikan sama ada menghidap sebarang penyakit kerana tidak pernah menerima rawatan di hospital.

"Selain berdepan dengan pendaftaran, Azizah juga mungkin dikenakan bayaran mahal kerana bukan berstatus warganegara walaupun hakikatnya dia dilahirkan dan memang berasal dari kampung ini.

"Kami pernah beberapa kali merujuk kepada pihak berkaitan mengenai hal ini tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan dan memberitahu pihak mereka tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan tiada bukti Azizah dilahirkan di negara ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Esah berkata, kekangan itu menyebabkan Azizah tidak dapat menerima sebarang bantuan rasmi termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sepatutnya layak diterima.

Menurutnya, dengan keadaan dia sendiri yang uzur, tidak banyak yang mampu dibuat kecuali menyuapkan adiknya makan selain membantu menyalin lampin pakai buang Azizah.

ESAH (kanan) bersama adiknya, Azizah yang berstatus OKU dan uzur dalam masa yang sama tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tujoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS
ESAH (kanan) bersama adiknya, Azizah yang berstatus OKU dan uzur dalam masa yang sama tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tujoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Untuk mandi pula, dia (Azizah) boleh mengesot ke bilik air cuma ada masanya terpaksa dibantu oleh menantu saya yang sudah tidak bekerja kerana baharu ditamatkan kontrak sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar di sini.

"Kini kami hanya bergantung kepada anak perempuan yang bekerja di kedai dobi dan anak saudara yang juga tukang rumah sahaja untuk kelangsungan hidup," katanya.

Terdahulu mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang diketuai pengerusinya, Pui Tiong Lam yang tampil menyerahkan katil wakaf untuk kegunaan Azizah.

Pui berkata, setiap bulan pihaknya akan memberi sumbangan lampin pakai buang untuk Azizah dan barang dapur untuk kegunaan keluarga itu.

"Katil boleh laras ini adalah katil wakaf dan diberi untuk kegunaan Azizah malah kami juga akan memberi bantuan lampin pakai buang secara bulanan untuk kegunaannya.

Sementara itu, Pengarah Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan Asrehan Ab Razak berkata, pihaknya boleh memproses permohonan sesiapa yang berdepan dengan masalah seperti yang dialami Azizah namun hasil semakan yang dibuat setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada keluarga warga emas itu.

"Mana-mana individu yang berdepan dengan masalah seperti yang dialami Azizah, dokumen pengenalan diri boleh diproses jika masih mempunyai ahli keluarga yang memudahkan maklumat diri diperoleh.

"Sekiranya mereka mempunyai kekangan untuk hadir ke pejabat JPN daerah, wakil kami bersedia untuk turun padang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 4:25 PM