FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kuarters Sri Jelutung, Chini, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 19 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sebanyak 30 kes positif Covid-19 direkodkan di kuarters itu.

Menurutnya, seramai 150 kontak rapat dikenal pasti membabitkan penghuni kuarters ini.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Chini Pahang bermula esok hingga 19 Mac ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang yang dikenakan PKPD ditamatkan esok mengikut jadual.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan atas sebab itu PKPD di kawasan itu ditamatkan mengikut jadual," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:16 PM