TAKIUIDDIN (dua dari kiri) diberi taklimat oleh  Ketua  Jurutera Distribution  Sistem  Operator,  Ganesh  M  Subramaniam  ketika melawat  Metro Regional  Control  Center,  di  Kompleks  Ibu  Pejabat  TNB. FOTO Ihsan TNB.
TAKIUIDDIN (dua dari kiri) diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution Sistem Operator, Ganesh M Subramaniam ketika melawat Metro Regional Control Center, di Kompleks Ibu Pejabat TNB. FOTO Ihsan TNB.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 333 pencawang elektrik atas faktor keselamatan membabitkan lokasi di negeri Pahang, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan banjir yang melanda sejak semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, TNB berkata, sebanyak 137 pencawang ditutup di Pahang, Kelantan (tujuh), Selangor (117), Kuala Lumpur (45) Melaka (10) dan Negeri Sembilan (17).

Hingga 12 tengah hari tadi, penutupan itu membabitkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpuas hati dengan kesiapsiagaan TNB dalam usaha yang berterusan menjaga bekalan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai dalam menghadapi bencana banjir.

"Terima kasih kepada warga kerja barisan hadapan TNB yang bertungkus lumus di lapangan dan saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberikan taklimat mengenai operasi TNB dan langkah-langkah yang diambil ketika dan selepas banjir, di Metro Regional Control Center (MRCC), Kompleks Ibu Pejabat TNB, di sini, petang ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set jana kuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

Menurutnya, penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

"TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

"Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

"Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

Menurutnya, elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

"Selepas banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air.

"TNB memahami kesukaran yang dialami para mangsa banjir, namun keselamatan mereka tetap menjadi pertimbangan utama dalam proses pemulihan bekalan tenaga apabila air surut.

"Terima kasih atas persefahaman dan kesabaran masing-masing untuk membolehkan TNB mengambil langkah-langkah perlu demi memastikan keselamatan terjamin sepanjang proses pemulihan bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:26 PM