Jubair Musi didakwa kerana mencabul kehormatan wanita warga emas di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO SURAYA
Jubair Musi didakwa kerana mencabul kehormatan wanita warga emas di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO SURAYA
Oleh Faris Fuad


Ampang: Seorang lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencabul seorang wanita warga emas, yang mana kejadian itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, Mohammad Jubair Musi Ullah, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai tukang sapu menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 71 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di hadapan sebuah kedai di Taman Muda, Ampang, jam 3.30 petang, 2 Ogos lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badannya.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, tular satu video di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang juga penagih dadah ditahan selepas mencabul wanita warga emas itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dipetik berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada hari kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:13 PM