Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki kerugian RM140,900 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai Ketua Polis Kedah untuk membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram didakwa atas namanya.

Lelaki juga bekas jurutera berusia 70 tahun itu sanggup menggunakan wang simpanannya untuk membayar wang kepada individu terbabit tanpa mengetahui nama Ketua Polis Kedah itu sebenarnya tidak betul.

Mangsa yang menetap di Lembah Klang itu dihubungi individu terbabit pada Mei lalu dan sejak itu dia berhubung dengan suspek sehingga kali terakhir pada awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa memaklumkan dia dihubungi Ketua Polis Kedah yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Rizal Merican.

Beliau berkata, mangsa diberitahu yang dia terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram dan perlu menjelaskan bayaran untuk menutup kes berkenaan.

"Disebabkan terpengaruh dan bimbang dikenakan tindakan, mangsa bersetuju untuk membayar wang untuk menutup kes seperti yang didakwa Ketua Polis Kedah itu bermula pada 2 Jun lalu.

"Dia membuat lima transaksi bayaran berjumlah antara RM7,000 hingga RM 30,000 dan kali terakhir berbuat demikian pada 2 Ogos lalu dengan bayaran sebanyak RM10,000," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menghubungi IPK Kedah dan dimaklumkan Ketua Polis Kedah yang sebenarnya adalah Datuk Kamarul Zaman Mamat dan bukannya nama seperti yang didakwa individu menghubunginya.

Berikutan itu, dia menghantar surat kepada Ketua Polis Kedah dan membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, Selangor pada 10 Ogos lalu, jam 12 tengahari.

"Bagaimanapun sejurus menerima surat dan laporan polis dari mangsa, pegawai polis dari IPK Kedah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 10.30 pagi semalam untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kes itu," katanya.

Elias menasihatkan orang ramai supaya tidak melayani panggilan yang menyamar sebagai pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Kedah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Beliau meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima panggilan dari individu mencurigakan dan mendakwa mangsa mempunyai kes jenayah lampau.

"Jangan mudah membuat transaksi bayaran ke dalam akaun yang diminta sebaliknya buat semakan terlebih dahulu.

"Kami menerima banyak kes sebelum ini dari individu yang menyamar sebagai pihak polis termasuk yang mendakwa sebagai Ketua Polis Kuantan, Pahang yang sebenarnya tidak wujud," katanya.

Sehubungan itu, Elias meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Check Scammers CCID di aplikasi Playstore bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi terkini kes jenayah komersil melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/, https://www.facebook.com/JSJKPDRM/ dan https://m.facebook.com/jsjkked/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:43 PM