Zaid Salim

Kuala Terengganu: Penternak lembu ditemukan lemas di Sungai Jeram Kolam Pinang, Kampung Jeram, Manir, di sini, pada 4.37 petang hari ini, iaitu selepas lebih dua jam dia dilaporkan hilang di sungai itu.

Sebelum kejadian, mangsa, Muhammad Aidil Che Ramli, 20, dikatakan berenang untuk ke seberang sungai yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Jeram, pada 2 petang.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan penduduk kampung sebelum menghubungi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Rahim Mat Din berkata, mangsa yang bekerja sebagai penternak lembu ditemui di dasar sungai berkenaan oleh pasukan penyelamat.

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas, Muhammad Aidil, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas, Muhammad Aidil, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian itu.

Katanya, sebaik tiba, tujuh anggota bomba melakukan selaman sebelum mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 8:05 PM