Mohd Amin Jalil

Seremban: Limpahan minyak daripada takungan minyak di premis berhampiran dikenal pasti sebagai punca pencemaran air Sungai Serting Jempol, dekat sini, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri Sembilan Cawangan Kuala Pilah membuat siasatan dan menemui punca kejadian pencemaran berkenaan.

Katanya, aduan pencemaran air di Sungai Serting yang berwarna hitam dan berbau diesel itu diterima pada 7 malam 10 Februari lalu.

"Jas Cawangan Kuala Pilah menjalankan siasatan dan mengenalpasti bahawa pencemaran berpunca daripada limpahan minyak dari takungan minyak premis berhampiran.

LIMPAHAN minyak daripada takungan minyak di premis berhampiran punca pencemaran Sungai Serting, Jempol. FOTO ihsan pembaca
LIMPAHAN minyak daripada takungan minyak di premis berhampiran punca pencemaran Sungai Serting, Jempol. FOTO ihsan pembaca

"Pihak premis terbabit diarah menjalankan pembersihan dan menghentikan pencemaran.

"Tindakan susulan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pemilik premis berkenaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Jas mengesahkan pihaknya mengambil sampel air Sungai Serting untuk tujuan analisis di Jabatan Kimia.

Terdahulu, seorang pekerja kafe, Nazrul Hafiz Abas dilaporkan mengesan air Sungai Serting dilihat berubah kepada warna hitam selepas dia terbau minyak diesel sebelum mencari punca bau berkenaan pada 5.50 petang, 10 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 12:56 PM