MOHD Yusri (kanan) melihat mesin melombong mata wang kripto bitcoin di dua premis di Batu 3, Jalan Gambang. FOTO Shahrinnahar Latib
MOHD Yusri (kanan) melihat mesin melombong mata wang kripto bitcoin di dua premis di Batu 3, Jalan Gambang. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Tindakan sindiket mencuri elektrik bagi kegiatan melombong mata wang kripto bitcoin di dua premis di Jalan Gambang, di sini, mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian RM240,000 dalam tempoh tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis dengan kerjasama TNB menyerbu dua premis terbabit, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan 11.15 pagi, pihak polis menahan empat lelaki berusia 22 hingga 39 tahun yang sedang menjalankan kegiatan melombong bitcoin.

"Sebanyak 159 mesin bitcoin iaitu 74 mesin di premis pertama dan 85 mesin di premis kedua dirampas dalam serbuan berkenaan.

"Siasatan juga mendapati suspek membuat penyambungan elektrik secara haram di kedua-dua premis berkenaan," katanya dalam sidang media di premis berkenaan, di sini.

Menurutnya, semakan mendapati TNB mengalami kerugian RM80,000 sebulan bagi kedua-dua premis yang dipercayai sudah beroperasi selama tiga bulan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, premis itu turut diubah suai supaya kelihatan seperti premis kosong dan beberapa papan lapis didapati digunakan untuk menghalang bunyi kuat dari premis terbabit.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 7:22 PM