FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia digesa memperkenalkan pensijilan halal untuk vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini supaya ia tidak dijadikan alasan penolakan pengambilan vaksin oleh sesetengah individu yang meragui status berkenaan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata isu halal vaksin sebenarnya tidak seharusnya menjadi pertikaian memandangkan kebanyakan vaksin Covid-19 pada masa kini tidak menggunakan sebarang sumber haiwan, malah ada yang disahkan halal oleh negara luar.

"Dengan ini kita dapat pastikan yang ia (vaksin) tetap halal, cuma langkah seterusnya mungkin kita boleh buat pensijilan halal… kalau kita lakukan itu, ia lebih baik.

"Jadi ini satu perkara yang boleh dilakukan oleh syarikat Pharmaniaga ataupun Duopharma yang bertanggungjawab memperoleh dan membekalkan dos vaksin Covid-19 ke negara ini, untuk mendapatkan sijil halal daripada pihak berwajib," katanya dalam program Koresponden yang disiarkan secara langsung di Bernama TV di sini hari ini.

Beliau berkata vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, Comirnaty misalnya, dibangunkan menggunakan teknologi baharu iaitu jenis 'messanger ribonucleic acid' (mRNA) yang tidak menggunakan sebarang sumber haiwan.

Amrahi berkata vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac pula ditetapkan halal oleh Majlis Ulama Indonesia, malah pihak berkuasa negara itu telah ke China untuk melihat sendiri isi kandungan vaksin tersebut.

Selain itu, baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Amrahi berkata adalah tidak logik untuk mengatakan vaksin Covid-19 yang bakal masuk ke dalam negara ini tidak selamat, memandangkan aspek keselamatan terhadap pengambilan vaksin itu sentiasa diberikan perhatian paling utama oleh kerajaan.

"Apa-apa vaksin yang akan masuk ke dalam pasaran Malaysia, ia perlu didaftarkan dan diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)... jadi dalam proses pendaftaran itu, ia memastikan tiga perkara dipatuhi iaitu kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

"Seperti mana-mana ubat termasuk vaksin, apabila sesuatu yang asing masuk ke dalam badan, penerimaan dan tindak balas setiap individu adalah berbeza… sebab itu kesan sampingan perlu dipantau dan ia perlu dilaporkan kepada NPRA sekiranya wujud kesan buruk yang disyaki daripada vaksin berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 2:48 PM