Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Hilmie Hussin


KERAJAAN diminta menimbang semula keputusan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Awam bagi Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) terhadap lantikan baru penjawat awam bermula 1 Januari 2020.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, ahli farmasi turut terjejas dengan tindakan yang disifatkan dibuat tergesa-gesa itu.

“Saya cadangkan ia ditangguhkan dan menyeru pihak kerajaan membuat sesi libat urus dengan semua badan profesional berkaitan, barulah telus.

“Sebagai penjawat awam, saya pasti kakitangan memahami situasi kerajaan namun kerajaan perlu menerangkan dengan sebaiknya senario yang berlaku ketika ini, apa masalah sebenar kerajaan sehingga elaun ini hendak dimansuhkan,” katanya, ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam kemelesetan ekonomi sekitar 80-an, kakitangan awam pernah dipotong gaji namun sebelum pemotongan dibuat, kerajaan memberi penjelasan dan penerangan.

“Bagaimanapun situasi hari ini, kami tidak pernah dipanggil sehingga dikejutkan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil 10 Tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 20 Disember 2019 yang akan memansuhkan BIPK terhadap lantikan baru penjawat awam, yang juga membabitkan pegawai farmasi bermula 1 Januari 2020,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, terdapat kira-kira 16,000 ahli farmasi di seluruh negara dan lebih separuh daripadanya berkhidmat di bawah perkhidmatan awam, yang berdaftar di bawah Lembaga Farmasi Malaysia dan perkhidmatan farmasi sedang berkembang di Malaysia.

Katanya, penambahan perkhidmatan farmasi berlaku dengan bertambahnya fasiliti kesihatan kerajaan.

“Perlu diingat, perkhidmatan farmasi beroperasi 24 jam akan terganggu dengan pelaksanaan pekeliling ini.

“Justeru, kami ingin tahu adakah masih wujud perkhidmatan kritikal di sektor awam dan jika ada, kami mohon senarai itu dikeluarkan untuk pengetahuan umum,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mewujudkan jawatan sama dengan keistimewaan berbeza adalah tidak wajar.

Amrahi berkata, berdasarkan jumlah bebanan yang sedang berlaku di fasiliti awam, status perkhidmatan kritikal untuk jawatan ahli farmasi perlu diteruskan.

Selain MPS, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menggesa kerajaan mengembalikan BIPK kepada bakal kakitangan perubatan, melalui satu petisyen yang dimuat naik di atas talian.

Petisyen yang mensasarkan 75,000 tandatangan itu mendapat lebih 56,000 sokongan setakat 9.30 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 3:23 PM