Sebahagian daripada 20 individu yang ditahan pihak berkuasa dalam sebuah rumah sewa yang dijadikan markas berjudi di Ayer Itam, di sini. FOTO/IHSAN PEMBACA
Sebahagian daripada 20 individu yang ditahan pihak berkuasa dalam sebuah rumah sewa yang dijadikan markas berjudi di Ayer Itam, di sini. FOTO/IHSAN PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Mahu jumpa kawan dan bosan duduk di rumah antara alasan diberi sebahagian daripada 20 individu yang ditahan kerana berjudi di sebuah rumah di Ayer Itam, di sini, hari ini.

Mereka ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira 1 pagi hasil intipan sejak seminggu lalu.

Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan, kesemua individu berkenaan termasuk warga emas sedang leka berjudi sehingga tidak menyedari kehadiran anggota polis.

"Mereka yang ditahan kemudian merayu supaya dilepaskan kerana mahu menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pemeriksaan di lokasi berkenaan menemui peralatan berjudi seperti daun terup, batu mahjong selain wang tunai di atas meja berjumlah RM1,350," katanya.

Katanya, kesemua suspek terdiri lima wanita dan 15 lelaki berusia 50 hingga 70 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Siasatan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 1:28 PM