IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung dua skim pelaburan iaitu Al Kahtifah Trust serta Madinah Mining yang didakwa Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menggunakan namanya bagi menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini, pihaknya membuka 38 kertas siasatan membabitkan skim pelaburan Al Kahtifah Trust dengan kerugian sebanyak RM468,870.

"Bagi skim pelaburan Madinah Mining pula, sebanyak 28 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian berjumlah RM343,282.

"Siasatan berhubung kedua-dua skim pelaburan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, hasil siasatan dilakukan, kedua-dua skim pelaburan itu dikesan mulai aktif sejak penghujung tahun lalu dengan menggunakan media sosial untuk mencari pelabur.

"Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

"Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Beliau berkata, siasatan berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan dan pihak polis memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

"Orang ramai diingatkan supaya memberikan perhatian dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti 'semak mule' serta senarai amaran BNM, Suruhanjaya Sekuriti (EC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Mahadi yang juga suami kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook dan Instagram selain aplikasi sembang maya seperti Telegram untuk memperdaya mangsa.

Akibatnya, beliau dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 8:16 AM