GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Lebih 100 pemilik restoran terpaksa meminjam ceti haram atau along sebagai jalan terakhir menyelamatkan perniagaan mereka.

Langkah itu bukan saja berisiko, malah ada yang sudah berdepan tindakan seperti ancaman keselamatan dan kadar faedah terlalu tinggi.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya menerima aduan daripada ahli yang terpaksa meminjam along bagi mengelakkan perniagaan mereka gulung tikar.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak setahun lalu, Presma mendapati ada ahlinya yang mengambil langkah berani meminjam along sehingga terjerat hutang yang tinggi.

"Saya terima aduan ini sejak beberapa bulan lalu. Ada ahli yang selama ini tidak pernah langsung berhutang along, kini diburu kerana tidak dapat membuat bayaran.

"Semuanya kerana kos operasi yang masih berjalan seperti biasa dan dalam sesetengah kes, peniaga bergelut untuk membayar sewa premis seperti biasa kerana pemilik kedai inginkan bayaran penuh.

"Ini satu perkembangan membimbangkan kerana peniaga hidup di dalam tekanan hutang. Sebelum ini, Presma sudah nasihatkan agar jauhi dari meminjam along," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Akbar berkata, dia mula meminjam along selepas perniagaannya berdepan masalah beberapa bulan lalu.

Katanya, disebabkan ketiadaan pelanggan kerana tidak dapat beroperasi, dia terpaksa menanggung kos sewa, utiliti dan membayar gaji pekerja.

"Saya lihat iklan pinjaman di media sosial dan meminjam sebanyak RM800,000. Along berkenaan mengenakan caj tinggi sehingga saya tidak mampu bayar.

"Kemudian ada along lain pula yang menawarkan pinjaman untuk menampung hutang itu. Sehingga kini, jumlah hutang termasuk kadar faedah melebihi RM2 juta, perniagaan yang saya usahakan selama ini juga perlu ditutup," katanya.

Dalam pada itu, Jawahar Ali berkata, Presma mengulangi permintaan kepada kerajaan untuk melanjutkan moratorium tanpa syarat khususnya kepada peniaga.

Katanya, ia satu-satunya jalan yang difikirkan paling sesuai pada masa ini bagi memastikan peniaga dapat meneruskan operasi seperti biasa.

"Kerajaan juga boleh membantu peniaga terkesan menerusi subsidi sewa.

"Selain itu bank juga boleh mengecualikan syarat sedia ada termasuk menggunakan budi bicara bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripadanya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 5:36 PM