ANTARA dadah dan barangan yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki disyaki mengedar dadah di kawasan garaj rumahnya di Taman Maju Jaya, semalam.
ANTARA dadah dan barangan yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki disyaki mengedar dadah di kawasan garaj rumahnya di Taman Maju Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Kegiatan seorang lelaki yang mengedar secara kecil-kecilan sejak setahun lalu di sekitar Kuala Lumpur terbongkar selepas dia ditahan di kawasan garaj rumahnya di Taman Maju Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pandan Indah melakukan pemeriksaan terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun di lokasi itu jam 6.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui pelbagai telefon bimbit, pakaian, beberapa peralatan seperti pemutar skru dan gerudi.

"Kami juga merampas lima peket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat lebih 200 gram.

"Selain itu, kami turut merampas lapan keping aluminium mengandungi 80 pil erimin seberat 23 gram, 17 pil yaba seberat 1.9 gram dan 16 pil ekstasi selain alat penimbang," katanya tadi.

Mohamad Farouk berkata, suspek menjual terus dadah itu secara kecil-kecilan kepada pembeli.

"Ia dilakukan dengan membawa dadah itu ketika berjumpa pelanggan di sekitar Kuala Lumpur. Suspek turut terbabit dengan aktiviti penagihan dadah sejak 10 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah ahli sindiket dadah yang masih bergiat aktif.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu curi kenderaan, pecah rumah serta khianat dengan api selain lima rekod kes dadah.

"Usaha mengesan rakan suspek sedang dilakukan. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 8:46 PM