Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menggubal Ordinan Darurat dengan meningkatkan jumlah kompaun serta tambahan hukuman di mahkamah dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil selepas masih ramai individu mahupun syarikat yang dilihat masih gagal mematuhi SOP.

"Kita melihat masih ramai pihak yang gagal mematuhi SOP. Disebabkan itu, kerajaan akan menggubal Ordinan Darurat bagi meningkatkan jumlah kompaun dan hukuman di mahkamah kepada individu mahupun syarikat yang degil.

"Apa yang dilakukan ini bukan untuk menyusahkan rakyat, namun ia adalah untuk memastikan kesihatan kita dijaga dengan baik," katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail berkata, seramai 494 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, dengan 464 individu dikompaun, 29 individu direman dan seorang lagi dijamin.

"Kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (112), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (67), tiada penjarakan fizikal (56), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (62) dan lain-lain (197).

"Seramai 3,074 pasukan pematuhan membabitkan 13,710 anggota membuat pemantauan di 3,608 pasar raya, 5,080 restoran, 1,931 penjaja, 1,720 pasar awam atau pasar tani, 3,453 bank, 734 pejabat kerajaan, 3,220 tempat ibadat dan 1,313 tempat riadah.

"Turut dipantau adalah 944 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (220) dan terminal pengangkutan udara (92)," katanya.

Beliau berkata, seramai, 21 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam Op Benteng dengan dua kenderaan darat turut dirampas, semalam.

"Dalam operasi ini, 540 sekatan jalan raya (SJR) iaitu Op Penawar (458), Op Benteng PDRM (46) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 110 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 74 operasi sanitasi membabitkan 42 zon merah, dua zon jingga, tujuh zon kuning dan satu zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 14,858 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 146 zon secara keseluruhan.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail memaklumkan sidang khas semalam juga bersetuju membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian membabitkan pembalakan dan lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:55 PM