ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Walaupun angka pesakit Covid-19 kian menurun namun jumlah individu ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat apabila seramai 611 individu ditahan sejak semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 584 individu dikompaun, manakala 27 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tiada penjarakan fizikal, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dan lain-lain.

"Seramai 3,195 pasukan pematuhan membabitkan 14,100 anggota membuat pemantauan di 6,005 restoran, 4,725 pasar raya, 4,004 bank, 2,958 penjaja, 2,291 pasar awam atau pasar tani, 1,660 kilang dan 778 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau adalah 3,755 tempat ibadah, 1,661 tempat riadah, 1,163 terminal pengangkutan darat, 301 terminal pengangkutan air dan 132 terminal pengangkutan udara," katanya.

Ismail berkata, seramai, 47 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng manakala lapan kenderaan darat serta satu bot atau kapal dirampas sejak semalam.

"Dalam operasi itu, terdapat 453 sekatan jalan raya SJR dilakukan iaitu Op Penawar (398), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (46) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 161 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui lima operasi penglihatan. Selain itu, seramai enam PATI turut diusir menerusi tiga operasi pengusiran," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 80 operasi sanitasi membabitkan 29 zon merah, empat zon jingga, 15 zon kuning dan tiga zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 17,620 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 146 zon secara keseluruhan.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:39 PM