Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengurusan kondominium dan taman perumahan dibenarkan membuat peraturan mewajibkan penyewa, terutama warga asing menjalani saringan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peraturan itu dibenarkan demi menjaga keselamatan penghuni, justeru pihak pengurusan kediaman yang berkenaan boleh melakukannya.

"Kita tidak akan halang, walaupun tiada polisi itu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan sesiapa ingin masuk ke kawasan kondominium atau perumahan perlu melakukan ujian Covid-19.

"Tetapi dalam hal ini, peraturan itu dibenarkan dibuat oleh pihak pengurusan bagi menjaga keselamatan penduduk," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penduduk yang duduk bersempadanan negeri mahu membeli barangan keperluan, Ismail Sabri berkata, rentas negeri memang tidak dibenarkan namun beliau juga berharap polis menggunakan budi bicara dalam kes seperti ini kerana munasabah untuk membeli barang keperluan di kawasan lebih dekat.

"Perkara ini banyak berlaku di kawasan sempadan bukan sahaja di Hulu Bernam Selangor tetapi turut berlaku di Negeri Sembilan yang bersempadanan dengan Johor.

"Saya harap polis jika lihat kes ini gunalah budi bicara memberi kebenaran kerana jika ke kawasan itu hanya jarak tiga kilometer lebih baik pergi membeli di tempat yang lebih dekat," katanya.

Beliau memberi reaksi itu selepas penduduk Hulu Bernam, Selangor merayu untuk dibenarkan masuk ke pekan Tanjung Malim, Perak untuk membeli urusan membeli barangan keperluan dan urusan penting lain.

Hal ini kerana jarak yang lebih dekat berbanding ke Kuala Kubu Bharu yang berjarak 30 kilometer atau Rawang sejauh 60 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:40 PM