Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, E. Sundra Rajan. FOTO POLIS MELAKA
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, E. Sundra Rajan. FOTO POLIS MELAKA
Nazri Abu Bakar


Melaka: Maklumat awal diterima berkaitan pusat panggilan penipuan pelaburan, namun serbuan polis menemui sembilan individu sedang berkumpul sambil menghisap dadah di sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, dalam operasi pada 3 petang itu, pihaknya menahan sembilan individu membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, polis menemui tiga paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 55 gram di bawah katil salah satu bilik di lokasi berkenaan.

"Sepasukan pegawai dan anggota menyerbu pangsapuri itu selepas mendapat maklumat mengenai pusat panggilan penipuan pelaburan.

"Kami menemui lapan lelaki dan seorang wanita dipercayai teman wanita kepada seorang daripada lelaki terbabit sebelum menemui dadah di bawah katil.

"Semua suspek didapati positif dadah jenis ketamin selepas ujian saringan air kencing dilakukan dan mereka diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Melaka Tengah untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:26 PM