Gambar hiasan
Gambar hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ketika pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) sibuk dengan kempen bantuan mangsa banjir, sindiket penipuan atau 'scammer' mengambil kesempatan menyamar menggunakan gambar pimpinan pertubuhan untuk mendapatkan wang mudah.

Mereka mengambil kesempatan di atas pelbagai kempen bantuan kecemasan yang diaktifkan NGO di seluruh negara untuk mengumpan mangsa menggunakan gambar di WhatsApp untuk meminjam wang.

Presiden Kelab Perantau 11 Fairuz Mohamad, 45, berkata, dia menerima kiriman mesej daripada nombor telefon tidak dikenali meminta wang atas alasan terdesak.

Katanya, WhatsApp berkenaan menggunakan gambar rakannya, yang juga seorang pimpinan NGO lain di Lembah Klang.

"Saya hairan mengapa rakan saya itu menggunakan nombor lain sedangkan kami selalu berhubung dengan nombor telefon yang selalu digunakannya.

"Selain itu, saya tahu dia seorang yang berduit dan agak pelik dia terdesak untuk menggunakan RM1,275 kononnya ada hal kecemasan," katanya kepada Harian Metro.

Fairuz berkata, mengesyaki ada yang tidak kena, dia segera menghubungi rakannya sebelum menyedari ada 'scammer' menyalahgunakan gambar sahabatnya itu.

Katanya, bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa, rakannya itu tampil membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Fairuz berkata, hasil perbincangan bersama rakan-rakan yang lain mendapati, penipu berkenaan selalu bergiat aktif ketika musim bencana dan akan memberikan alasan ditimpa kesusahan.

"Sebelum ini, pernah juga berlaku seperti ini ketika NGO mengumpulkan dana untuk misi kemanusiaan. Saya bimbang jika ada yang terpedaya kerana menyangkakan rakan sendiri ditimpa kesusahan, rupanya ia taktik scammer untuk menipu orang ramai," katanya.

Sebelum ini Harian Metro pernah melaporkan kegiatan serupa yang mensasarkan golongan kenamaan termasuk pemimpin politik dengan menggunakan gambar mereka.

Terbaru Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya, juga menjadi mangsa selepas gambarnya digunakan individu tidak dikenali yang meminta wang.

Bagaimanapun, selepas semakan dibuat, beliau mendapati terdapat 20 laporan polis dibuat ke atas nombor berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:00 PM