- Foto hiasan
- Foto hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: "Saya terkejut apabila ditanya mengenai hasrat mahu meminjam wang, padahal tidak ada berbuat demikian.

"Mujur ada rakan prihatin bertanya kepada saya terlebih dahulu, jika tidak sudah pasti menjadi mangsa penipuan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang, Noor Azmi Yusof apabila nama dan gambarnya digunakan scammer bagi meminjam duit daripada orang lain.

Beliau berkata, enam rakannya dihubungi 'scammer' terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, malam tadi sebelum menyatakan hasrat meminjam duit.

"Scammer terbabit menyamar sebagai saya dan menggunakan nombor telefon 01135101315 sebelum menghantar WhatsApp menyatakan mahu meminjam wang berjumlah RM3,900 hingga RM7,000 bagi pembayaran buku dan peralatan asrama.

"Pada 1 tengah hari, hari ini saya dihubungi rakan mengenai perkara itu dan menafikan ada berbuat demikian iaitu meminjam wang.

"Berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Pertang pada 3.42 petang selepas gambar saya digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi menipu orang ramai," katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu berkata, polis mengesahkan menerima laporan daripada Adun terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 8:22 PM