JERLUN Care Society menyampaikan sumbangan telefon pintar untuk empat beradik yang tidak mampu untuk membeli kemudahan itu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
JERLUN Care Society menyampaikan sumbangan telefon pintar untuk empat beradik yang tidak mampu untuk membeli kemudahan itu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: "Sebagai anak sulung, saya akan mengalah kepada adik-adik agar mereka dapat menggunakan telefon pintar milik emak secara bergilir untuk belajar kerana ayah tak mampu nak beli."

Begitu kata Nurul Natasha Najwa Md Napiah, 15, apabila terpaksa bergilir-gilir menggunakan satu-satunya telefon pintar ibu mereka dengan adiknya, Nurul Natasha Najihah, 13, Nurul Natasha Nazirah, 12, dan Erra Shazira, 11, untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah.

Nurul Natasha Najwa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang itu berkata, dia terpaksa memberi laluan kepada adik-adiknya terlebih dahulu untuk mengikuti pelajaran setiap kali kelas diadakan.

Menurutnya, dia sanggup berkorban demi adik-adiknya kerana bapanya Md Napiah Majid, 62, yang bekerja sebagai nelayan memperolehi pendapatan tidak menentu.

"Susah juga sebab kena kongsi telefon bimbit ni tapi saya dahulukan untuk adik-adik dan lepas mereka selesai, saya fokus pada tugasan saya pula.

"Saya tak rasa menyesal pun sebab ayah tak mampu, tapi kami akan belajar bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sanglang, di sini, hari ini.

Nurul Natasha Najwa berkata demikian ketika ditemui selepas dikunjungi Jerlun Care Society yang menyampaikan bantuan empat telefon pintar kepada keluarga itu di Kuala Sanglang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nurul Natasha Najihah berkata, adakalanya dia lewat menghantar kerja sekolah disebabkan terpaksa menunggu giliran dengan kakak dan dua lagi adiknya untuk menggunakan telefon pintar berkenaan.

Katanya, jika guru bagi kerja sekolah dahulu untuknya maka dia akan menggunakan telefon dulu sebelum diberikan kepada kakak mahupun adik-adiknya pula.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak yang memberi telefon pintar ini kepada kami sekali gus boleh belajar tanpa perlu berkongsi lagi," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Jerlun Care Society, Abdul Hadi Omar berkata, pihaknya mendapati ramai pelajar golongan kurang berkemampuan terpaksa berkongsi menggunakan telefon pintar untuk mengikuti PdPR.

Katanya, disebabkan itu, pihaknya terpanggil untuk membantu empat beradik terbabit kerana ia menjadi keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pademik Covid-19 ini.

"Apabila kami memuat naik status di laman sosial Facebook (FB) kelmarin, mendapat ramai yang memerlukan kemudahan alat telekomunikasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 3:16 PM