Sarah Suhairi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sarah Suhairi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara, Sarah Suhairi mengakui masa terluangnya kini diisi dengan aktiviti memantau dan membantu dua adiknya yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sarah, 21, berkata sebagai kakak wajar dia membantu adik-adiknya dalam pendidikan mereka. Ujarnya, selagi boleh bantu apa salahnya dia menolong apa yang mampu dilakukan.

"Daripada saya tak buat apa di rumah pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, lebih baik pantau dan bantu adik-adik belajar. Tambahan pula, seorang adik saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Lagipun, saya dapati PdPR ini kaedah pembelajaran yang baharu dan memerlukan masa untuk pelajar menyesuaikan diri berikutan ada beberapa platform seperti Google Classroom, Whatsapp, Telegram dan sebagainya yang diguna pakai untuk belajar," katanya.

Menurut Sarah, dia juga perlu masa untuk lebih memahami. Apapun, katanya dia kagum dengan semangat guru-guru yang bertungkus lumus memberikan terbaik untuk murid-murid belajar dari rumah.

Katanya, suasana belajar di rumah dan di sekolah dan tidak sama. Malah, dalam keadaan sekarang pastinya murid-murid sangat rindu untuk hadir ke sekolah dan belajar secara berhadapan dengan guru.

Menurut Sarah lagi, yang pasti dia sekadar membantu ibu bapanya memantau pembelajaran adik-adik. Ujarnya, sudah pasti juga ada golongan ibu bapa yang kurang jelas mengenai PdPR dan perlukan masa untuk lebih memahami.

Katanya, setakat ini dia seronok dapat membantu pelajaran adik-adik. Bagaimanapun, Sarah memberitahu dia juga sedih dan tidak dapat membayangkan nasib segelintir pelajar yang tidak mempunyai kemudahan seperti komputer riba dan talian internet di rumah.

"Apapun, diiharapkan semoga penularan Covid-19 ini akan berakhir dan pelajar boleh ke sekolah menimba ilmu semula. Namun, sekarang nampaknya ibu bapa dan pelajar perlulah menyesuaikan diri untuk PdPR ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 2:48 PM