KETUA Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. FOTO GHAZALI KORI
KETUA Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu akan memperketatkan kawalan di 12 jalan tikus yang berpotensi menjadi laluan alternatif untuk merentas daerah dan negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia membabitkan 10 laluan di daerah Besut manakala dua lagi di Kemaman.

Beliau berkata, laluan berkenaan adalah jalan alternatif yang digunakan bagi mengelak daripada diperiksa polis atau anggota keselamatan lain.

"Kita akan tingkatkan kawalan dan melakukan operasi khas secara berkala di laluan ini bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Pemantauan turut bertujuan mengelak aktiviti jenayah termasuk aktiviti pengedaran dadah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Roslee berkata, sebanyak 25 sekatan jalan raya (SJR) diaktifkan di seluruh Terengganu susulan pelaksanaan PKP.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan SJR akan diadakan selama 24 jam khususnya di pintu sempadan keluar masuk ke negeri ini.

"Kita turut menambah tiga lokasi SJR di daerah Setiu iaitu di simpang 3 Sungai Tong-Kuala Berang, Kampung Bintang dan Kampung Fikri manakala selebihnya SJR secara bergerak.

"SJR secara bergerak ini mungkin dilakukan dalam tempoh 16 jam, 12 jam dan 8 jam di semua lokasi dikenal pasti, bergantung kepada keadaan semasa di lokasi berkenaan," katanya.

Roslee berkata, seramai 326 orang membabitkan polis dan tentera akan ditempatkan di semua SJR sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.

Beliau berkata, selain itu pihaknya akan melakukan rondaan dan tinjauan terutama di kawasan tumpuan awam termasuk pasar raya dan lain-lain.

Menurutnya, individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan akan dikompaun serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:38 PM