FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Peningkatan kes Covid-19 di negeri ini turut membabitkan kes saringan terhadap orang ramai yang dimasukkan ke hospital akibat masalah atau penyakit lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keadaan itu agak membimbangkan berikutan individu yang positif tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Kita sekarang melakukan saringan terhadap pesakit yang akan ditahan di wad, antaranya mereka yang akan melakukan pembedahan, bersalin dan sebagainya. Yang ini kita tak boleh buat apa-apa kerana virus ini sentiasa ada dalam masyarakat.

"Biasanya mereka bukan kontak rapat sesiapa, namun ia masih dalam kawalan cuma kita bimbang kerana mereka tiada simptom dan menjadi pembawa," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemampuan makmal saringan Covid-19 di Kedah, Dr Mohd Hayati berkata, sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih mampu menampung jumlah sampel saringan kecuali ia membabitkan kuantiti besar.

Menurut beliau, kuantiti besar contohnya membabitkan Kluster Tembok sebelum ini yang dihantar ke makmal di Ipoh dan Kelantan.

"Sampel yang diuji di makmal kita hanya mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk mendapat keputusan, jika dihantar ke makmal di negeri lain, ia mengambil masa kira-kira 24 jam atau lebih.

"Kita juga membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) seperti di Kuala Nerang dan Sungai Petani, termasuk bagi menempatkan rakyat kita yang baru pulang dari Thailand.

"Bagaimanapun, ketika ini tidaklah seramai ketika di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hanya beberapa individu yang menjalani kuarantin sebelum mereka dibenarkan berada dalam masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati menasihati orang ramai supaya terus prihatin untuk melindungi diri sendiri serta orang lain daripada Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Hospital swasta di negeri ini juga diminta memberi kerjasama untuk merawat pesakit Covid-19 dalam situasi darurat ketika ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:56 PM