GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 23 warga sekolah di negeri ini disahkan positif Covid-19 dengan lebih 10 daripadanya membabitkan lima sekolah di Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jangkitan itu membabitkan guru dan pelajar.

"Ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Safinaz dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Temenggung di Pendang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dan beberapa buah sekolah lagi termasuk di daerah lain.

"Setiap sekolah cuma ada seorang atau dua yang positif Covid-19, kecuali MRSM Pendang yang membabitkan tiga guru," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pelajar dan guru yang positif ini diarah menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) dan mereka bukan dalam keadaan yang serius.

Semalam, media melaporkan, MRSM Pendang dinasihati ditutup sementara selama tiga hari bermula hari ini (Jumaat) bagi membolehkan proses sanitasi selain untuk tujuan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Dr Mohd Hayati menasihati masyarakat supaya tidak lalai selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berada dalam majlis atau kenduri.

"Ketika ini, ramai yang anjurkan majlis kenduri. Kita bimbang ia akan menyebabkan jangkitan dalam kalangan ibu bapa mahu pun guru. Berhati-hati kerana kita belum bebas daripada Covid-19," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menerima pelancong asing sempena Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi bermula hari ini.

Katanya, pelancong yang tiba tidak perlu menjalani kuarantin melainkan mereka yang mempunyai simptom.

"Saya difahamkan, penerbangan terus hari ini tiba dari Singapura. Pelancong ini sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan individu yang negatif sahaja akan dibenarkan berlepas ke Langkawi.

"Di Langkawi, kita akan minta mereka jalani ujian RT Saliva, sekiranya ada simptom kita akan jalankan ujian lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 3:48 PM