SULAIMAN mengaminkan doa selepas selesai Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh, hari ini. FOTO BERNAMA
SULAIMAN mengaminkan doa selepas selesai Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh, hari ini. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama barisan kepimpinan berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Sulaiman selesai mengangkat sumpah jawatan itu tengah malam tadi selepas Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Alhamdulillah, malam tadi saya selesai mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

"Buat rakyat Melaka, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada BN bagi Penggal Ke-15," katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Katanya, pencapaian terbaik BN dengan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada 28 kerusi DUN adalah cerminan rakyat untuk memiliki sebuah kerajaan yang stabil, demi kemakmuran ekonomi.

Sulaiman juga berjaya mempertahankan kerusi Lendu yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Dalam PRN Melaka semalam, BN selesa membentuk kerajaan dengan 21 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) sekadar menang lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) hanya dua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 9:11 AM