Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Dua penginapan pekerja kilang sarung tangan di Kampung Acheh di sini, didapati sesak dengan jumlah penghuni yang tidak menepati peraturan ditetapkan.

Keadaan di enam blok penginapan di dua lokasi berasingan yang menempatkan hampir 1,000 pekerja asing itu melanggar peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia Zaini Yaacob berkata, kedua-dua premis juga gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada jabatan.

"Secara keseluruhan, bangunan sesuai didiami tetapi pemeriksaan mendapati ada beberapa perkara yang tidak dipatuhi seperti tiada tilam dan ada katil yang diletak di ruang tamu.

"Hasil tinjauan turut mendapati, berlaku kesesakan dalam unit berkenaan yang mana seunit bilik tidur sepatutnya dihuni dua individu namun ia dihuni lebih daripada empat individu.

"Kapasiti setiap unit rumah melebihi apa yang ditetapkan dalam peraturan dan sepatutnya pekerja dipindahkan ke penginapan yang lebih bersesuaian seperti diperuntukkan dalam akta," katanya selepas menjalankan pemeriksaan di penginapan berkenaan di sini, hari ini.

ZAINI (kanan) bersama Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak, Muhammad Fauzi Abd Ghani (kiri) melihat tempat tidur yang menggunakan tikar pada operasi asrama pekerja warga asing oleh Jabatan Tenaga Kerja Perak di Kawasan Perindustrian, Kampung Acheh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
ZAINI (kanan) bersama Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak, Muhammad Fauzi Abd Ghani (kiri) melihat tempat tidur yang menggunakan tikar pada operasi asrama pekerja warga asing oleh Jabatan Tenaga Kerja Perak di Kawasan Perindustrian, Kampung Acheh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Operasi yang bermula jam 2 petang hingga jam 5 petang itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan turut membabitkan JTK Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Zaini berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut mengenai perkara itu dan jika majikan didapati gagal mematuhi syarat dikenakan, barulah kertas siasatan akan dibuka.

"Bagaimanapun, daripada aspek kebersihan, tiada masalah dan kami berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 7:19 PM