GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Mayat seorang lelaki separa reput ditemui di kawasan belukar Jalan F, Kampung Pandan Dalam, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 7.35 malam.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat berkenaan adalah lelaki dewasa yang lengkap berpakaian namun, tiada dokumen pengenalan diri. Dia ditemukan dalam keadaan separa reput," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan susulan penemuan itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

"Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Mukriz untuk dibedah siasat hari ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu dengan ke Balai Polis Ampang atau menghubungi talian 03-42897417," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 10:52 AM