GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Mayat reput ditemukan dalam longkang di tepi Jalan Broga, Semenyih di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki daripada orang awam yang melalui jalan itu pada 8.37 malam.

"Sepasukan polis ke lokasi dan mendapati mayat itu ditemui dalam longkang tepi jalan dari arah Broga menghala ke Semenyih, berhampiran kawasan perumahan.

"Mayat berpakaian lengkap iaitu baju-T serta seluar jeans gelap.

"Polis turut menemui dompet dan telefon bimbit dipercayai milik lelaki itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengenalan diri ditemui lelaki itu

dikenali sebagai N Suresh, 43, berasal dari Batu 9, Cheras.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata.

"Berdasarkan siasatan oleh forensik, kemungkinan lelaki itu terjatuh ke dalam longkang dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih seminggu lalu," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Ketua Balai Polis Semenyih Inspektor Sahar Buraera di talian 03-87275222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 10:13 AM