ANTARA pelanggan pub yang dikompaun kerana melanggar SOP. FOTO ihsan polis
ANTARA pelanggan pub yang dikompaun kerana melanggar SOP. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seramai 37 pelanggan serta seorang pengurus di sebuah pub di Seksyen 19, di sini, dikenakan tindakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan jam 8.50 malam.

"Pemeriksaan dilakukan di dalam bilik-bilik di premis berkenaan mendapati terdapat 37 pelanggan lelaki serta wanita berusia antara 20 hingga 56 tahun sedang leka berhibur dan minum arak.

"Selain itu, terdapat 87 individu lain membabitkan pelanggan lain serta pekerja premis di dalam pub berkenaan ketika serbuan dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, 37 pelanggan serta pengurus premis berkenaan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 13 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Tempatan Jangkitan 2020) kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati pengurus premis terbabit iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun gagal mengemukakan lesen pusat hiburan sah serta tidak mempunyai lesen menjual minuman keras.

"Susulan itu, kami merampas 23 botol arak pelbagai jenama, peralatan audio, enam bil tunai serta wang tunai berjumlah RM4,250 dalam serbuan itu," katanya.

Beliau berkata, pengurus premis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:40 PM