PENGERUSI RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tiga dari kanan) melihat Sofiyyah Radzuan membuat seramik selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Risda Peringkat Negeri Kedah di Tesco Mergong. FOTO Amran Hamid
PENGERUSI RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tiga dari kanan) melihat Sofiyyah Radzuan membuat seramik selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Risda Peringkat Negeri Kedah di Tesco Mergong. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: RISDA memberi jaminan melakukan pemantauan dan pemeriksaan ketat terhadap produk usahawan yang memiliki logo Produk Muslim.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata, menerusi kerjasama dengan MARA, logo yang dikeluarkan pihaknya akan melalui proses pemeriksaan ketat di Inkubator Teknologi Makanan MARA (INTEM).

Katanya, INTEM mempunyai peralatan canggih untuk memeriksa kebersihan makanan dan bahan yang digunakan seiring dengan tuntutan agama.

"Saya perlu jelaskan perkara ini supaya JAKIM tahu bahawa logo yang dikeluarkan oleh RISDA dengan kerjasama IKIAM bukan logo halal.

“Sebaliknya, ia hanya logo Produk Muslim bagi membantu usahawan yang gagal mendapatkan sijil halal daripada jabatan terbabit.

"Pemeriksaan di INTEM ini akan diberikan percuma kepada usahawan Islam kerana kita mahu produk mereka diyakini pengguna Islam,” katanya selepas merasmikan Karnival Usahawan RISDA Negeri Kedah 2016, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Seri Othman Mustafa meminta RISDA memberi penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan logo halal selain logo yang dikeluarkan JAKIM kerana bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan (perakuan dan Penandaan Halal) Perintah 201.

Menurut akta itu, hanya JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) berwibawa dalam mengeluarkan pengesahan halal.

Zahidi berkata, RISDA mengambil inisiatif mengeluarkan logo itu selepas menyedari ramai usahawan Muslim sukar mendapatkan sijil halal sehingga dikhuatiri menjejaskan perniagaan mereka.

"Ramai usahawan mengeluh sukar mendapat sijil halal manakala pengguna Islam pula takut untuk membeli produk tanpa sijil halal. RISDA tidak mengeluarkan sijil halal tetapi sekadar memberikan alternatif,” katanya.

Beliau berkata, logo berkenaan bukan hanya dikeluarkan kepada usahawan RISDA, malah usahawan bawah agensi lain terutama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 9:01 PM