Keadaan banjir di Kampung Gudang Rasau, Kuantan. Foto Asrol Awang
Keadaan banjir di Kampung Gudang Rasau, Kuantan. Foto Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 24,298 orang daripada 6,535 keluarga di sembilan daerah di negeri ini, pagi hari ini.

Jumlah itu bertambah berbanding petang semalam apabila mencatatkan 21,922 orang daripada 5,858 keluarga di 259 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 54 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Maran (41), Lipis (40), Raub (37), Jerantut (36), Kuantan (33), Pekan (23), Bera (11) dan Rompin (tujuh).

Kuantan mencatatkan 3,534 mangsa daripada 954 keluarga, diikuti Temerloh 5,818 prang membabitkan 1,618 keluarga, Maran (5,275 daripada 1,453 keluarga).

Rompin pula merekodkan 986 daripada 257 keluarga, Bera (726 daripada 197 keluarga), Raub (2,182 daripada 573 keluarga), Jerantut (2,367 daripada 568 keluarga), Lipis (2,551 daripada 675 keluarga) dan Pekan (859 daripada 240 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan tujuh sungai di negeri itu melepasi paras bahaya sehingga 8 pagi hari ini.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Selain itu, Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan turut melepasi paras bahaya.

Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis: Sungai Triang, Bera dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan pula melepasi paras amaran.

Sungai Belat di Sri Damai dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan pula melepasi paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan notis cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin pada hari ini.

Hujan lebat peringkat waspada turut dijangka berlaku Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 9:31 AM