Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat (kiri) melihat barangan yang dirampas susulan penahanan empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan sekolah di sekitar Baling. FOTO IHSAN PDRM
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat (kiri) melihat barangan yang dirampas susulan penahanan empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan sekolah di sekitar Baling. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Polis menahan enam suspek termasuk wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah masuk rumah dan sekolah di tiga daerah termasuk Pengkalan Hulu di Perak.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tangkapan itu susulan kes pecah masuk sebuah sekolah rendah di Kupang, bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 27 Februari lalu yang mengakibatkan kerugian wang tunai hasil jualan buku yang disimpan di pejabat sekolah berkenaan.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat pengawal keselamatan sekolah berkenaan, satu operasi khas 'Ops Pintu Khas' dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk mengesan dan menahan penjenayah terbabit.

"Operasi khas berjaya menahan sekumpulan penjenayah dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan di kawasan Pulai dan Bongor, di sini pada 28 Februari lalu.

"Turut dirampas, beberapa barang kes hasil pecah rumah daripada kumpulan penjenayah terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, kesemua suspek terdiri daripada penduduk tempatan berusia antara 23 hingga 56 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, seorang daripada suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod dikehendaki polis dan pecah rumah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada suspek terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Malah hasil soal siasat juga mendapati, empat suspek lelaki mengaku terbabit dalam kes pecah rumah di tiga daerah termasuk Baling, Sungai Petani dan Sik sejak awal tahun lalu," katanya

Shamsudin berkata, salah seorang suspek lelaki dipercayai ketua kumpulan itu juga terbabit dalam kegiatan pecah rumah di kawasan Kupang dan mengetuai rakan sejenayah melakukan kes pecah rumah.

Beliau berkata, dua suspek wanita itu pula berperanan sebagai 'pointer' dan tukang menjual barang kemas hasil pecah rumah di kedai menjual beli emas serta pajak gadai di sekitar Kuala Ketil, Baling, Sungai Petani, Sik dan Pengkalan Hulu di Perak.

"Kedua wanita yang ditahan ini adalah teman wanita kepada dua suspek lelaki yang ditahan.

"Susulan daripada itu, polis turut melakukan rampasan di rumah mereka dan merampas 13 ketulan emas, dua bentuk cincin emas, dua utas rantai tangan emas, seutas rantai tangan leher sebuah televisyen 32 inci, sebuah pengering rambut dan sebuah PSP, 30 keping kad tambah nilai, dua pembesar suara, enam buah jam tangan, pelbagai beg tangan dan satu Mykid.

"Dengan tumpasnya kumpulan ini, polis IPD Baling berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah dan curi yang terdiri daripada premis rumah dan sekolah di daerah ini yang membabitkan kerugian RM150,000," katanya.

Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati mereka terbabit dengan satu kes di Sungai Petani dan Kulim manakala masing-masing dua kes di Sik dan Pengkalan Hulu.

Beliau berkata, kesemua mereka direman sehingga esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi dengan curang dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:37 PM