KAKITANGAN TNB memotong kabel elektrik sebuah premis perlombongan bitcoin di Kuantan. FOTO arkib NSTP
KAKITANGAN TNB memotong kabel elektrik sebuah premis perlombongan bitcoin di Kuantan. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Kuantan: Orang ramai meminta pihak berkuasa bertindak tegas menghapuskan premis perlombongan mata wang bitcoin yang beroperasi secara haram.

Ini kerana penggunaan elektrik secara berlebihan 24 jam tanpa henti mengundang perkara buruk seperti kejadian kebakaran disebabkan litar pintas.

Peniaga syarikat penghantaran barangan yang hanya mahu dikenali sebagai Aleen berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas terhadap sindiket perlombongan bitcoin yang masih berdegil.

Menurutnya, bekalan elektrik sering terjejas dan ada ketikanya terputus disebabkan penggunaan secara berlebihan oleh premis kegiatan perlombongan bitcoin yang beroperasi 24 jam tanpa henti.

"Saya difahamkan sebelum ini pernah berlaku kebakaran disebabkan litar pintas di premis kegiatan perlombongan mata wang bitcoin di daerah ini, kejadian itu amat merbahaya kepada premis yang berada berhampiran.

"Kerjasama semua pihak diperlukan bagi membendung kegiatan haram itu dalam memastikan ia tidak terus berleluasa," katanya, di sini.

Pengguna yang dikenali sebagai Deraman berkata, kegiatan perlombongan mata wang bitcoin bukan saja menyebabkan kerugian pada Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi turut mengundang kejadian litar pintas.

"Beberapa kawasan bangunan premis perniagaan di daerah ini dikatakan menjadi lokasi utama kegiatan perlombongan bitcoin sejak beberapa tahun lalu.

"Saya difahamkan kegiatan itu kini sudah menular ke beberapa daerah lain di negeri ini," katanya.

TNB Pahang pada bulan lalu sudah menggeledah lapan premis bitcoin di daerah ini dan kebanyakannya premis sama yang pernah diserbu.

Kegiatan perlombongan bitcoin lebih tertumpu di daerah ini, Temerloh, Bera, Bentong dan Jerantut.

Sindiket terbabit lebih tertumpu beroperasi di bangunan kedai baharu yang masih tidak banyak digunakan.

Sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya 22 premis perlombongan bitcoin namun kini jumlahnya berkurangan selepas operasi berterusan dilakukan oleh TNB dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 9:04 PM