KAKITANGAN TNB Pahang ketika operasi bitcoin pada 2 Oktober. FOTO arkib NSTP
KAKITANGAN TNB Pahang ketika operasi bitcoin pada 2 Oktober. FOTO arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang kerugian lebih RM4.5 dalam tempoh tiga bulan angkara sindiket perlombongan mata wang bitcoin di tiga daerah di negeri ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, sepanjang tahun lalu TNB Pahang menanggung kerugian lebih RM3.2 juta angkara perbuatan sindiket ini yang membuat sambungan elektrik tanpa meter.

"Ketika itu (bitcoin) baru mula menapak di negeri terutama di daerah ini.

"Kegiatan perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam.

"Bagi mengelak membayar bil tinggi, pihak terbabit mencuri bekalan elektrik," katanya.

Bulan lalu, TNB mencatat kerugian kira-kira RM1.5 juta dan dalam operasi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), pihaknya mengesan 29 premis bitcoin dengan lapan premis di Temerloh serta Bera dan 21 di daerah ini.

"Dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, lima operasi dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain akan terus dilakukan dalam memastikan kegiatan terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

"TNB Pahang kini mempunyai unit khas yang bertanggungjawab membenteras kegiatan terbabit daripada terus beroperasi. Selain melakukan serbuan dan pemotongan bekalan elektrik kita juga dari masa kesemasa memantau lokasi panas di semua daerah.

"Kita juga mengharapkan maklumat orang awam berkaitan kegiatan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 11:13 AM