PENDUDUK, Razan Ahmad, 63, menaiki sampan untuk meninjau keadaan rumahnya yang dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam di Kampung Padang Kubu. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK, Razan Ahmad, 63, menaiki sampan untuk meninjau keadaan rumahnya yang dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam di Kampung Padang Kubu. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Chukai: Hujan berterusan sesekali lebat menyebabkan keadaan banjir di negeri ini semakin parah apabila 15 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan sehingga jam 8 malam ini membabitkan keseluruhan mangsa seramai 1,743 orang.

Daripada 15 PPS, sebanyak 13 diaktifkan di daerah ini berikutan penambahan mangsa banjir secara mendadak daripada 332 mangsa jam 2 petang tadi kepada 1,582 orang sehingga kini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebanyak 12 PPS diaktifkan di daerah ini dengan pertambahan enam PPS yang baru diaktifkan bermula lewat petang tadi.

Katanya, 12 PPS terbabit adalah Universiti Kokej TATI (TATI UC), Pasir Gajah, Masjid Tebak BT 16, SK Teluk Kalong, Balairaya Padang, Dewan MPKK Titian Berayun.

Selain itu katanya, turut diaktifkan ialah PPS Masjid Sungai Mas, Balairaya MPKK Padang Kubu, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balairaya Kampung Paya Berenjut, SK Kemasik dan Dewan Orang Ramai Pengkalan Rangoon.

Menurutnya, daerah Dungun turut berlaku pertambahan mangsa banjir sehingga kini seramai 161 orang daripada 51 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Orang Ramai Kampung Syukor.

Che Adam berkata, berdasarkan keadaan cuaca terkini, jumlah mangsa dipercayai semakin bertambah menjelang tengah malam nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 9:37 PM