AFFENDI (kiri) memakaikan lencana Ketua Pengarah BSEP kepada Shamsuddin pada Majlis Pelancaran BSEP. FOTO Bernama
AFFENDI (kiri) memakaikan lencana Ketua Pengarah BSEP kepada Shamsuddin pada Majlis Pelancaran BSEP. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) sebagai kesiagaan pasukan keselamatan itu mendepani ancaman domain siber serta elektromagnetik.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penubuhan bahagian itu bertujuan mengukuhkan pembangunan keupayaan pertahananan sedia ada ketika berdepan ancaman semasa tersebut yang dilihat semakin kompleks.

Beliau berkata, ancaman siber dan elektromagnetik tidak boleh diperlekeh kerana ia membabitkan pelbagai perkara dan jika tiada persediaan dibuat bersama-sama pengetahuan yang relevan, negara akan tunduk dengan ancaman ini.

"Hasil ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan kini membawa kepada pelbagai pihak tidak bertanggungjawab yang berusaha melakukan ancaman itu dan secara tidak langsung, mampu menyumbang kepada kepincangan aspek pertahanan serta keselamatan negara," katanya pada sidang media selepas pelancaran BSEP di Kompleks Haigate di sini.

BSEP adalah transformasi organisasi Markas ATM Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) ditubuhkan pada 1993 yang sebelum ini melalui beberapa penjajaran serta penjenamaan.

Affendi berkata, BSEP akan memberi tumpuan kepada Aktiviti Siber Elektromagnetik (CEMA) sebagai domain baharu dalam senarai peranannya tanpa merubah peranan konvensional iaitu pembangunan dan pengurusan, aspek komunikasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta domain elektromagnetik.

Beliau berkata, pada masa sama, penubuhan BSEP dapat memperkukuh pembinaan pusat pemantauan dan pertahanan rangkaian yang bertindak sebagai tembok api utama melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara.

"Secara amnya, BSEP akan bertindak sebagai agensi peneraju di peringkat ATM dan Kementerian Pertahanan dalam mengkoordinasikan semua perkara berkaitan siber dan elektromagnetik.

"Dengan ini, aspek perintah dan kawalan BSEP akan dilihat lebih tersusun, terkawal selain berjalan lebih lancar kerana kesemua pelaksanaan aktiviti domain siber elektromagnetik itu dipusatkan di bawah satu naungan sahaja," katanya.

Pada majlis itu, Affendi turut mengumumkan Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin selaku Ketua Pengarah BSEP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:40 PM