Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seramai 10 banduan yang hampir tamat menjalani hukuman penjara dipilih bekerja secara kontrak dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sehingga mereka dibebaskan.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, banduan berkenaan yang juga dikenali sebagai Orang Diparol (ODP) akan dibayar gaji secara tuntutan oleh kelab penjara secara bulanan.

Katanya, ia adalah hasrat pihaknya untuk membantu bekas penghuni penjara yang memerlukan sokongan serta dokongan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan kembali semula ke dalam masyarakat.

"Jabatan Penjara Kelantan juga memberi persetujuan untuk membabitkan penghuni rumah perantaraan sebagai tenaga kerja di MPKB-BRI yang melakukan khidmat pemotongan rumput dan pembersihan di kawasan yang ditentukan.

"Bagi membantu banduan itu, pihak kami membekalkan lima motosikal roda tiga serta kelengkapan pembersihan melalui peruntukan berjumlah RM50,000 yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)," katanya.

SERAMAI 10 banduan ODP dipilih berkerja secara kontrak dengan MPKB-BRI. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
SERAMAI 10 banduan ODP dipilih berkerja secara kontrak dengan MPKB-BRI. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Motosikal Roda Tiga dan Peralatan Kebersihan yang disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Jabatan Penjara Malaysia Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam menyampaikan replika kunci motosikal roda tiga kepada Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob.

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, kolobrasi antara MAIK, MPKB-BRI dan Jabatan Penjara Kelantan adalah projek perintis bagi membantu ODP.

"Ini adalah usaha murni yang baik dengan gandingan tiga agensi kerajaan dan insya-Allah kita akan mengembangkannya di masa hadapan.

"Ketika di penjara, mereka (ODP) diberi bimbingan oleh pengurusan penjara dengan pelbagai aktiviti dan pekerjaan serta tanggungjawab dalam menyiapkan mereka untuk berhadapan dengan dunia luar.

"Pada masa sama, kita juga yakin mereka akan berjaya dan ini antara usaha untuk menolong mereka mencapai kejayaan selepas dibebaskan kelak," katanya.

From: Fazlina

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:23 PM