PASUKAN operasi menyita makanan yang dijual oleh sebuah kedai makan kerana disyaki dijual kepada individu tidak berpuasa. FOTO ihsan MPKB-BRI
PASUKAN operasi menyita makanan yang dijual oleh sebuah kedai makan kerana disyaki dijual kepada individu tidak berpuasa. FOTO ihsan MPKB-BRI
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua pekerja kedai makan ditahan selepas disyaki menjual makanan kepada individu tidak berpuasa di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini, semalam.

Mereka berusia 30-an ditahan menerusi operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bermula 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, dua wanita itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 10 (1) (a)- Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Negeri Kelantan kerana tidak menghormati Ramadan.

"Mereka disyaki memberi atau menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Ketika operasi, pemilik kedai makan tidak ada di premis.

"Jika disabitkan, mereka boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadzuli berkata, MPKB-BRI pula menyita tujuh bekas lauk-pauk dan satu bekas nasi mengikut Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.

Katanya, tindakan itu diambil kerana peniaga melanggar syarat lesen iaitu premis menjalankan perniagaan sebelum 3 petang pada Ramadan.

"Pemantauan premis bersama agensi luar ini dibuat bagi memastikan pematuhan syarat berniaga di bulan Ramadan.

"Tindakan penguatkuasaan bertujuan memelihara syariat agama Islam serta menjaga keharmonian dan kesejahteraan bandar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:32 PM