SAARANI memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
SAARANI memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pelantikan Exco PAS dalam kerajaan negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengulas demikian apabila ditanya pemberita samada PAS akan berada dalam barisan lima lagi Exco yang akan dilantik.

Saarani berkata lima kekosongan kerusi Exco itu akan dipenuhkan apabila tiba sudah masanya nanti.

"Kita akan penuhkan ia (lima Exco) seperti mana sebelum ini, akan tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.

"Sebagai Menteri Besar saya hanya boleh mencadangkan nama Exco, hak mutlak untuk memperkenankan cadangandan pelantikan Exco adalah Sultan Perak dan selepas diperkenan kepada nama berkenaan barulah pelantikan akan dibuat," katanya kepada sidang media selepas tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bagi secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak Ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat kajian berhubung portfolio yang dipegang exco sebelum ini.

"Itupun saya akan buat kajian semula sebab berasaskan kepada sembilan bulan yang lalu sudah tentu kita akan membuat kajian tentang kesesuaian.

"Mungkin ada pengubahsuaian kepada portfolio dipegang bagi tujuan kita hendak memperbaiki kalau ada apa-apa kelemahan dalam tempoh sembilan bulan yang lalu," katanya sambil memaklumkan portfolio exco hanya akan penuhkan selepas kesemua sepuluh Exco dilantik.

Semalam, NSTP melaporkan Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), di Istana Iskandariah.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu.

Mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan itu ialah ADUN Sungai Manik yang juga Setiausaha BERSATU Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Empat ADUN UMNO ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Namun, dalam lantikan lima Exco berkenaan, tiada wakil ADUN PAS yang dilantik.

From: Balqis Jazimah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 1:07 PM