GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perolehan empat aset bernilai RM3.574 bilion untuk meningkatkan keupayaan aset angkut taktikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tanpa perancangan rapi menyebabkan objektif perolehan tidak tercapai sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1, tempoh penyerahan aset yang dinamakan Aset X lewat antara 36 sehingga 312 hari, menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan kos bagi penyelenggaraan aset yang dinamakan Aset Y yang sepatutnya digantikan oleh Aset X.

Menurutnya, mengikut perjanjian asal, Aset X diterima mulai Mei 2013 sehingga Jun 2014 tetapi Aset X didapati telah diterima pada Mac 2015 sehingga Mac 2017 menyebabkan Kementerian Pertahanan masih menggunakan Aset Y sebagai aset angkut pelbagai guna.

"Bagi tempoh 2015 sehingga 2019, kerajaan membelanjakan RM723.17 juta bagi penyelenggaraan Aset Y," menurut LKAN itu.

Selain itu, menurut laporan itu, Aset Y terus digunakan TUDM kerana keupayaan Aset X yang diterima di bawah standard yang ditetapkan.

Menurut laporan itu, Kontrak Pindaan Pertama yang ditandatangani Kementerian Pertanan dan syarikat dikenali Syarikat M pada 12 Jun 2013 meminda konfigurasi Aset X daripada keupayaan penuh kepada beberapa peringkat Standard Operating Clearance (SOC).

"Keupayaan Aset X kemudian dinaik taraf kepada keupayaan penuh pada Februari 2020," menurut LKAN itu.

"LKAN mengesyorkan perancangan rapi serta justifikasi bagi perolehan aset tentera hendaklah dilakukan Kementerian Pertahanan sebelum perolehan dilaksanakan," menurutnya.

Sementara itu, LKAN mendapati toner jenama HP yang dibekalkan pembekal dilantik Penjara Kajang adalah tiruan bernilai RM13,935 dan penemuan itu disahkan HP Malaysia.

"Lawatan audit pada 13 Sept tahun lepas di stor simpanan toner pencetak mendapati kod Quick Response (QR) pada kotak asal stok toner telah dipotong menyebabkan pengesahan ketulenan toner tidak dapat dilaksanakan," menurut LKAN itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 5:00 PM